fb fb fb fb fb

Stigma kesihatan mental perlu diubah - Fahmi

(Foto Fahmi Fadzil)

KUALA LUMPUR, 10 Oktober- Stigma kesihatan mental perlu diubah kerana ia merupakan halangan terbesar untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berpandangan ramai yang beranggapan negatif mengenai kesihatan mental terutama apabila perlu berjumpa dengan kaunselor.

"Kita mesti normalisasikan konsep bahawa kesihatan mental sebahagian daripada bentuk kesihatan, isu kesihatan dan perlu diberi rawatan, perlu diberi penegasan dan juga disantuni termasuk juga untuk penjawat awam. Saya lihat dengan adanya kaunselor dalam jabatan ataupun agensi dan juga kementerian, ini sedikit sebanyak dapat membantu," kata Fahmi kepada media selepas merasmikan Program 'Care For You' serta pelancaran #KitaAktif di Angkasapuri di sini.

Ia anjuran bersama Unit Psikologi Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta Kelab Kebajikan dan Sukan RTM bersempena bulan psikologi Jabatan Penyiaran Malaysia.

Pelbagai pengisian menarik di susun atur melalui program tersebut antaranya RTM 'Walk' yang disertai kakitangan RTM dan keluarga mereka.

Sementara itu, Fahmi apabila ditanya berkenaan beberapa isu berkaitan iklan dan kandungan di platform aplikasi TikTok berkata satu penyelesaian menang-menang yang memberi manfaat kepada negara tanpa menjejaskan aspek keselamatan sama ada keselamatan peribadi ataupun data keselamatan negara perlu dicapai.

Fahmi juga memberitahu turut mendapat aduan daripada peniaga, orang awam dan agensi media yang terkesan dengan isu berkenaan.


(Foto Fahmi Fadzil)

Media Baharu