fb fb fb fb fb

Ziarah Kasih MADANI: 1,400 penduduk Johor terima sumbangan PM

FOTO FACEBOOK Azman Abidin

BATU PAHAT, 20 Februari- Seramai 1,400 penerima di tujuh Parlimen di Johor menerima sumbangan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Program Ziarah Kasih MADANI.

Program selama tiga hari yang bermula semalam itu menyasarkan golongan sasar termasuk pesakit terlantar, warga emas dan individu uzur bagi meringankan beban keluarga mereka.

Penyerahan sumbangan dilakukan menerusi Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin yang turun padang menyantuni penerima bantuan.

Menurut Azman, sumbangan itu disalurkan hasil kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengenal pasti golongan yang benar-benar memerlukan bantuan di setiap kawasan.

"Melalui NGO, kita kenal pasti golongan yang memerlukan di kawasan tersebut. Kita akan bekerjasama dengan mereka dan turun padang bagi menyampaikan sumbangan serta menyantuni penerima," katanya.

Dalam kunjungan ke Batu Pahat, dua penerima bantuan menzahirkan penghargaan atas keprihatinan Perdana Menteri terhadap kebajikan rakyat.

"Saya ucapkan terima kasih kerana beliau masih mengingati saya. Sumbangan ini sangat bermakna dan saya doakan semoga beliau terus berjaya serta kekal menerajui negara," kata seorang penerima, Mansoor Mohd Sairi.

Seorang lagi penerima, Zainal Abidin Abdullah turut menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri.

"Terima kasih atas sumbangan yang diberikan kepada kami. Saya yakin dengan perjuangan beliau dan berharap usaha membantu rakyat akan terus diperkukuh," katanya.

SITI AISHAH MD ISA