KOTA BHARU, 20 Februari- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) tidak menghalang mana-mana masjid bawah seliaannya daripada melantik imam luar termasuk bukan warga tempatan bagi memimpin solat tarawih sepanjang Ramadan.
Bagaimanapun Yang Dipertuanya Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata pihaknya menggalakkan pengurusan masjid menggunakan khidmat hufaz tempatan bagi memberi peluang kepada mereka memperoleh rezeki dalam bentuk bayaran saguhati sepanjang bulan mulia itu.
"MAIK tidak menetapkan sekatan kepada sesiapa untuk menjadi imam tarawih, keputusan terletak kepada jawatankuasa masjid masing-masing.
"Namun, kami amat menggalakkan penggunaan khidmat hufaz tempatan agar mereka turut mendapat manfaat," katanya dalam sidang media sempena Majlis Laporan Khas Kutipan dan Agihan Zakat MAIK 2024 di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan MAIK berjaya mengutip zakat berjumlah RM296.5 juta pada 2024, meningkat 15 peratus berbanding RM257.09 juta pada 2023.
Segmen terbesar kutipan adalah zakat pendapatan sebanyak RM185.3 juta, diikuti zakat perniagaan berjumlah RM54.1 juta. Zakat pendapatan mencatatkan peningkatan tertinggi sebanyak 17 peratus iaitu RM27.2 juta lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.
Menurutnya, peningkatan kutipan dipengaruhi oleh iklim perniagaan yang baik serta keberkesanan program agihan. Selain itu, potongan gaji turut menyumbang RM86.2 juta atau 30 peratus daripada jumlah keseluruhan kutipan zakat.
Bagi agihan, sebanyak RM269.4 juta diagihkan pada 2024, meningkat 15 peratus berbanding RM233.6 juta pada tahun sebelumnya.