fb fb fb fb fb

Pajakan 28 helikopter merangkumi pakej menyeluruh - Khaled Nordin

FOTO FACEBOOK Khaled Nordin

KUALA LUMPUR, 20 Februari- Pajakan 28 helikopter bernilai RM16.6 bilion yang dilaksanakan Kementerian Pertahanan merangkumi pakej menyeluruh termasuk penyelenggaraan dalam dan luar pengkalan, simpanan alat gantian, latihan serta kursus juruterbang dan krew penerbangan serta kos pembiayaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin berkata perolehan secara sewaan itu melibatkan tempoh kontrak selama 15 tahun dan diterima oleh semua anggota keselamatan yang menerima helikopter tersebut.

"Jika kita mengambil kira harga yang dibayar oleh Poland dan membeli terus 28 helikopter, jumlahnya sekitar RM7.5 bilion.

"Namun, perlu difahami bahawa nilai RM16.6 bilion dalam kontrak pajakan ini bukan hanya untuk pembelian aset, tetapi turut merangkumi keseluruhan pakej termasuk penyelenggaraan dan latihan," katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata di bawah pakej pajakan menyeluruh itu kerajaan tidak perlu menguruskan kos-kos lain atau 'incidental costs.'

Kaedah kontrak pajakan juga dipilih bagi mengatasi cabaran ketersediaan aset strategik negara yang rendah akibat kekangan kewangan dengan tahap kesiapsiagaan aset ketika ini berada pada tahap yang tidak optimum.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa kos tersebut terlalu tinggi dan berpotensi menimbulkan isu ketelusan dalam pajakan aset pertahanan negara.

SITI AISHAH MD ISA