(Foto Zambry Abd Kadir)
PUTRAJAYA, 8 Julai- Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir mengadakan mesyuarat dua hala dengan tujuh menteri luar negeri pada Mesyuarat Menteri-menteri Biro Penyelarasan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) di Baku, Azerbaijan pada 5 Julai lalu.
Tujuh menteri itu adalah Menteri Luar Negeri Azerbaijan Jeyhun Bayramov, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Negeri Iraq Dr. Fuad Muhammad Hussein, Menteri Luar Negeri Iran Hossein Amir Abdollahian, Menteri Luar Negeri Nepal Narayan Prakash Saud, Pemangku Menteri Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa Sudan Selatan Deng Dau Deng Malek, Menteri Luar Negeri Turkiye Hakan Fidan dan Menteri Luar Negeri Venezuela Yvan Gil-Pinto.
Menurut kenyataan Wisma Putra, semasa pertemuan dua hala bersama timbalan perdana menteri merangkap menteri luar negeri Iraq, kedua-dua menteri telah bersetuju untuk meningkatkan kerjasama perdagangan dua hala.
Timbalan perdana menteri Iraq telah memanjangkan jemputan kepada Malaysia untuk bekerjasama dalam usaha pembinaan semula negara Iraq yang sedang dalam proses pemulihan selepas era perang berpanjangan.
Ketika pertemuan dengan rakan sejawat beliau dari Azerbaijan, Zambry merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Azerbaijan atas kepengerusian NAM oleh negara tersebut dari tahun 2019 sehingga kini.
Malaysia dan Azerbaijan setuju untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang sudah mencapai ulang tahun ke-30 pada tahun ini.
Semasa pertemuan dengan menteri luar negeri Turkiye, perbincangan tertumpu kepada usaha untuk meningkatkan perdagangan dua hala serta kerjasama dalam bidang keselamatan dan pertahanan Malaysia-Turkiye.
Sementara itu, isu yang dibangkitkan oleh Zambry semasa pertemuan dua hala antaranya isu masalah syarikat Malaysia di luar negara, meningkatkan kerjasama, potensi perdagangan dan pelaburan baharu serta isu berkepentingan bersama.
Permintaan tinggi pertemuan dua hala ini memaparkan kredibiliti Malaysia sebagai negara anggota NAM yang dinamik, berpengaruh dan sentiasa tegas dalam menyuarakan pandangan terhadap krisis semasa serantau dan global.
(Foto Zambry Abd Kadir)