fb fb fb fb fb

Zakat fitrah di Perlis kekal RM7

KANGAR, 2 April- Bayaran zakat fitrah bagi umat Islam di Perlis pada tahun ini kekal pada kadar RM7 seperti tahun sebelumnya.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, penetapan itu selaras dengan kelulusan Persidangan Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang telah memperakukan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis untuk mengekalkan kadar fitrah pada tahun ini berdasarkan harga beras yang lazimnya digunakan oleh masyarakat.

"Selain menunaikannya dengan bayaran tunai, umat Islam yang menunaikan Zakat Fitrah dengan beras, maka kadar pengeluaran ialah sebanyak satu gantang Nabawi bagi setiap seorang bersamaan dengan 2.6 kilogram," titah baginda sempena Majlis Rukyah Hilal Ramadan 1443H anjuran Jabatan Mufti Perlis dan MAIPs di Tapak Cerapan Hilal Perlis, Kompleks Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis, di sini.

(Raja Muda Perlis (kanan) pada Majlis Rukyah Hilal Ramadan 1443H anjuran Jabatan Mufti Perlis dan MAIPs di Kuala Perlis)

Umat Islam boleh menunaikan zakat fitrah melalui amil-amil kariah di seluruh negeri Perlis disamping bayaran secara dalam talian.

Pada majlis sama, baginda yang juga merupakan Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan melancarkan penerbitan Sebaran "Adab-adab Berbuka Puasa Menurut Sunnah" terbitan Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Sebaran penerbitan berkenaan bertujuan menggalakkan umat Islam agar sentiasa menghayati dan mengamalkan adab-adab berbuka puasa yang bertepatan dengan Sunnah Rasulullah SAW.

Turut mengiringi baginda, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Media Baharu