fb fb fb fb fb

Zaiton Sameon terima sumbangan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan

SELANGOR, 24 September- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokthar melalui Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan menyampaikan sumbangan kepada penyanyi veteran Zaiton Sameon yang mengalami hilang ingatan sementara selepas terlibat dalam kemalangan sekitar tahun 1990.

Keadaan kesihatan penyanyi tersebut membuatkannya sukar untuk mencari rezeki selepas kejadian malang itu.

Mohd Nai'm berkata, "kita agensi agama terus menyahut teras pembinaan Malaysia MADANI iaitu cakna dan prihatin dengan masyarakat. Jadi dalam konteks ini, kita semua sudah maklum dengan berita berkaitan dengan kehidupan Zaiton Sameon.

"Kita pastikan sumbangan zakat yang diberikan oleh pembayar-pembayar zakat itu akan sampai kepada golongan asnaf memerlukan," katanya kepada pemberita selepas menghulurkan bantuan sebanyak tiga ribu ringgit kepada wakil ahli keluarga angkat penyanyi veteren itu di kediamannya di sini.

Bagaimanapun Zaiton Sameon tidak dapat menghadiri majlis itu disebabkan urusan peribadi.

Namun Mohd Na'im berkesempatan menghubungi penyanyi veteran tersebut melalui satu panggilan video.

Zaiton ketika dihubungi berkata, "terima kasih atas sumbangan yang diberikan dan ini dapat membantu saya untuk meneruskan kehidupan."

Pada 14 November tahun lepas, Zaiton menerima kad Orang Kurang Upaya (OKU) kategori OKU Fizikal : Traumatic Brain Injuries (Trauma Kecederaan Otak) daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan.

Kecederaan itu disebabkan kemalangan jalan raya di Batang Kali, Selangor pada tahun 1990 yang mengakibatkan anak tunggalnya, Azirwan Abu Bakar, 13, meninggal dunia.

Dalam kemalangan tersebut penyanyi yang pernah menjadi juara Anugerah Juara Lagu (AJL) 1987 itu turut parah di bahagian kepala hingga menyebabkannya hilang ingatan sementara.

(Datuk Dr. Mohd Na’im Mokthar)

Media Baharu