BAGAN DATUK, 23 Januari- UMNO mahu Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menerima keputusan yang dibuat parti itu berhubung usul tambahan jawatan presiden dan timbalan presiden yang tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.
Bagaimanapun Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya menerima dengan hati terbuka berhubung setiap aduan yang dikemukakan kepada ROS.
Ahmad Zahid berkata paling penting ketika ini adalah perpaduan dalam kepimpinan UMNO dapat dipertahankan.
"Jika ada teguran atau sebarang aduan dibuat kepada ROS, UMNO sangat terbuka untuk mereka mengemukakannya dan biarlah ROS menerima keputusan yang dibuat oleh perhimpunan agong UMNO minggu lalu sebagai keputusan yang diabsahkan," katanya kepada media di sini.
Pada Jumaat, dua ahli UMNO menghantar aduan kepada ROS agar semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 berkaitan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.
(Foto BERNAMA)