fb fb fb fb fb

YIPP laksana solat sunat Istisqa’, mohon hujan

GEORGE TOWN, 15 Mei- Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) akan melaksanakan solat sunat Istisqa’ di 13 buah Masjid yang terlibat dengan Program Kelas Asas Fardhu Ain (KAFA) menengah, bagi memohon hujan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Fitri Ibrahim berkata, penganjuran solat memohon hujan itu sebagai ikhtiar kerana mengalami cuaca panas dan kering ketika ini.

“Ini sebagai ikhtiar bagi pihak kami kerana keadaan cuaca sekarang menyebabkan beberapa empangan kekurangan air dan pastinya ia menjadi kebimbangan ramai ketika ini.

“Kita akan adakan solat sunat Istisqa’ tiga hari bermula hari ini diikuti esok, 16 Mei dan pada Khamis, 18 Mei ini dengan melibatkan kira-kira 500 orang,”katanya ketika dihubungi RTM pagi tadi.

Masjid Al-Hidayah Lahar Tiang, Kepala Batas, Masjid Umar Abdul Aziz, Batu Maung dan Masjid Al-Amin Simpang Tiga Nibong Tebal antara masjid yang terlibat dengan penganjuran solat terbabit.

YIPP adalah sebuah agensi di bawah kawal selia Majlis Agama Islam Pulau Pinang yang merupakan pelaksana tunggal program KAFA khusus untuk pelajar peringkat sekolah menengah.

(Mohd Fitri Ibrahim)

Media Baharu