HULU SELANGOR, 24 Mac- Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) menyasarkan kutipan Kupon Infaq Yatim sebanyak RM2 juta sepanjang Ramadan tahun ini.
Pengerusinya, Tan Sri Mazlan Mansor berkata , setakat ini kutipan infaq tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan di seluruh masjid negeri ini.
Justeru beliau berharap sasaran tersebut dapat mengatasi nilai yang diterima pada tahun lalu iaitu sebanyak RM1.2 juta.
"Alhamdulillah pada tahun lepas kita sasar RM1.5 juta kita telah mendapat hasil RM1.2 juta jadi tahun ini kita sasarkan lebih sikit. Jika dapat lebih bantuan orang ramai di Selangor menghampiri Syawal kita mengalukan untuk menginfaq," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis sumbangan Aidilfitri di Masjid Nurul Iman, Serendah, malam tadi.
Pada majlis itu, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah turut berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri bernilai RM73,050 kepada 487 anak-anak yatim di Hulu Selangor.
YIDE merupakan agensi yang bertanggungjawab melaksana aktiviti kebajikan seperti menyalur sumbangan kecemasan kepada mangsa ditimpa musibah dan menguruskan hal ehwal anak yatim.