KUALA LUMPUR, 8 Februari - Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menghargai komitmen kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri untuk membangunkan wilayah persekutuan sebagai sebuah bandaraya metropolis yang lestari.
Ia berdasarkan prinsip menjaga kebajikan, meringankan kos sara hidup dan menaik taraf hidup rakyat Wilayah Persekutuan.
Yang di-Pertuan Agong turut menyambut baik program pembangunan usahawan anak muda yang berjaya memberi impak meningkatkan penyertaan belia dalam bidang keusahawanan pasca pandemik.
Bantuan kepada golongan miskin di 178 kawasan perumahan rendah dan sederhana rendah di Kuala Lumpur telah dapat membantu meringankan kos sara hidup yang ditanggung golongan miskin bandar.
"Beta amat bersyukur melihat komitmen kerajaan beta dalam menjaga kebajikan dan kemaslahatan rakyat beta, usaha-usaha proaktif bagi meringankan kehidupan warga wilayah persekutuan, beta menyambut baik kejyaan semua inisiatif setelah diperkenalkan di wilayah persekutuan yang berteras kepada prinsip menjaga kebajikan, meringankan kos sara hidup dan menaikkan taraf hidup rakyat di wilayah persekutuan", katanya.
Baginda bertitah sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan di Istana Negara.
Al-Sultan Abdullah turut memuji inisiatif Residensi Prihatin Keluarga Malaysia dan Residensi Wilayah Keluarga Malaysia bagi membantu warga Wilayah Persekutuan termasuk golongan B40 dan M40 memiliki rumah sendiri yang selesa dan berkualiti.
"Dalam hal ini beta turut berharap agarpembangunan wilayah persekutuan sebagai bandar pintar bertaraf duniamenjelang 2030 dan pelaksanaan bandar rendah karbon akan dapat direalisasi kan. begitu juga harapan beta dengan cadangan pembinaan jambatan yang menghubungkan pulau labuan dengan tanah besar sabah yang pada hemat beta boleh menjadi pemangkin pesat pembangunan ekonomi di kedua-dua sempadan wilayah tersebut", Katanya.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut bertitah agar solusi jangka panjang dapat dirangka; selain memperkasa mekanisme pengurusan bencana.
Bandaraya Kuala Lumpur dan Lembah Klang yang merupakan pusat kepada ekonomi dan kewangan negara perlu mempunyai pelan kontingensi terancang dalam menghadapi banjir.
Namun di sebalik musibah banjir itu, Seri Paduka Baginda meluahan rasa terharu dengan semangat setiakawan dan saling membantu yang dipamerkan rakyat ketika bencana tersebut.