fb fb fb fb fb

13,944 kes COVID-19 terus melonjak

PUTRAJAYA, 8 Februari - Malaysia merekodkan kes baharu COVID-19 melebihi paras 10,000 untuk tiga hari berturut-turut, apabila 13,944 kes dilaporkan setakat tengah hari tadi, berbanding 11,034 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka itu menjadikan kumulatif kes COVID-19 kini 2.93 juta kes.

Kali terakhir Malaysia mencatatkan kes melepasi 13,000 adalah pada 26 September lepas, iaitu 13,104 kes.

Menerusi laman Twitter rasmi beliau, Tan Sri Dr Noor Hisham memaklumkan, 99.48% atau 13,871 kes baharu hari ini, adalah dalam Kategori Satu dan Dua.

Manakala 73 kes lagi atau 0.52% berada dalam Kategori Tiga, Empat dan Lima.

Kadar kebolehjangkitan (Rt) negara pula, mencatatkan 1.32 berbanding 1.27 semalam, dengan Sabah dan Perlis merekodkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.54 diikuti Sarawak 1.48 dan Terengganu 1.36.

Dalam pada itu, setakat semalam, seramai 12.47 juta individu dewasa di negara ini telah menerima dos penggalak COVID-19.

Media Baharu