KUALA LUMPUR, 27 Oktober - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mantan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Abdullah Mohamed yang telah kembali ke Rahmatullah hari ini.
Istana Negara menerusi satu kenyataan di Facebook berkata Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham serta menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar, tabah menghadapi dugaan dalam suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah S.W.T dan ditempatkan bersama para solihin.
“Seri Paduka Baginda berdua menyanjung tinggi jasa, khidmat dan bakti Allahyarham kepada negara dan menyifatkan pemergiannya sebagai satu kehilangan besar kepada bidang penyiaran dan media negara,” kata kenyataan itu.
Pemergian Allahyarham disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada bidang penyiaran dan media negara.