
KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis (DKPP) dan Pingat Keberanian Polis (PKP) Tahun 2026 kepada 159 penerima di Istana Negara, hari ini.
- Penghargaan terhadap jasa, khidmat bakti dan pengorbanan pegawai serta anggota PDRM dalam memelihara keselamatan negara.
- Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Ibrahim Darus menerima Darjah Kebesaran Pangkat Pertama Panglima Gagah Pasukan Polis.
- PGPP turut dikurniakan kepada pengarah jabatan serta Ketua Polis Selangor, Kuala Lumpur dan Kedah.
- Selain itu, PSPP dikurniakan kepada 31 penerima; PPP kepada 44; KPP kepada 15; BPP kepada 58.
Ia sebagai pengiktirafan dan penghargaan terhadap jasa, khidmat bakti serta pengorbanan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melaksanakan amanah memelihara keselamatan dan keamanan negara.
Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Ibrahim Darus mendahului senarai penerima dengan pengurniaan Darjah Kebesaran Pangkat Pertama Panglima Gagah Pasukan Polis (PGPP).
Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan darjah PGPP kepada Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Aida Abdul Hamid dan Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman Datuk Redzuan Abd Hamid.
Turut menerima darjah kebesaran yang sama ialah Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Seri Noor Hisam Nordin, Pengarah Pengurusan PDRM Datuk Mohamad Zainal Abdullah, Ketua Polis Selangor Datuk Pahlawan Shazeli Kahar, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus dan Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah.
Melengkapkan senarai 11 penerima PGPP pada istiadat itu ialah Timbalan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Mohd Hairuddin Che Hamid dan Timbalan Pengarah Cawangan Khas II Bukit Aman Datuk Mohammad Shaharul Md Osman.
Turut hadir pada istiadat itu ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Dr. Awang Alik Jeman dan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail.
Pada istiadat tersebut, Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan darjah Panglima Setia Pasukan Polis (PSPP) kepada 31 penerima Pahlawan Pasukan Polis (PPP) kepada 44 penerima dan Kesatria Pasukan Polis (KPP) kepada 15 penerima.
Selain itu, seramai 58 individu lagi menerima darjah Bentara Pasukan Polis (BPP) pada istiadat hari ini.