fb fb fb fb fb

YDP Agong dan Raja Permaisuri tiba di Turkiye untuk lawatan negara

ANKARA, 16 Ogos- Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Esenboğa Ankara bagi Lawatan Negara ke Republik Turkiye selama tujuh hari.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua menggunakan pesawat khas pada pukul 5.30 petang waktu tempatan disambut Naib Presiden Turkiye, Fuat Oktay, Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal dan Duta Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yuksel.


(Delegasi SPB Yang di-Pertuan Agong ke Turkiye turut diiringi Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul
Tengku Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin)

Turut berangkat anakanda Seri Paduka Baginda, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah.

Baginda berdua yang berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala lumpur (KLIA) diiringi Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Al-Sultan kemudiannya melintasi Kawalan Kehormatan dari pasukan 4th Army Corps dan Garison Ankara serta bertitah ‘Merhaba Asker’ yang bermaksud ucapan selamat.

Baginda berdua turut dipersembah jambangan bunga daripada dua orang kanak-kanak sebagai mengalu-alu kan keberangkatan tiba baginda.

Lawatan negara yang ketiga buat Seri Paduka berdua ini merupakan jemputan daripada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan yang sepatutnya dijadualkan pada tahun lalu namun ditangguhkan berikutan penularan wabak COVID-19.

Acara pertama Al Sultan Abdullah dan Tunku Azizah di Turkiye adalah dengan berangkat menghadiri Majlis Sambutan Negara dan Majlis Santapan Negara yang dihoskan Presiden Erdogan di Istana Presiden.

Lawatan ini penting bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Turkiye yang sekali gus melambangkan keakraban serta keteguhan jalinan persahabatan kedua-dua negara sejak 1964.

Ia turut mencerminkan keprihatinan Seri Paduka berdua terhadap kesejahteraan rakyat Malaysia dan kelestarian prestasi pelaburan serta kepentingan negara di Turkiye.

(SPB Yang di-Pertuan Agong dan delegasi disambut wakil negara Turkiye
dan Duta Besar Malaysia ke Turkiye sejurus mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Esenboğa Ankara)

Media Baharu