TANJUNG MALIM, 1 Februari - Yayasan Bank Rakyat (YBR) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi penajaan Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) kepada pelajar pendidikan bahasa etnik melibatkan peruntukan RM7.5 juta.
MoU itu ditandatangani oleh Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata inisiatif itu bertujuan bagi menggalakkan pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah Sarjana Muda khususnya dalam bahasa etnik.
"Sebuah yayasan yang diletakkan di bawah tanggungjawab saya dengan UPSI terkait dengan pembiayaan pendidikan kepada mahasiswa yang mengambil pengajian dalam bahasa etnik iaitu Kadazan dusun, Iban dan Semai. Saya berharap ianya dapat menjadi alternatif pembiayaan kepada mahasiswa," katanya.
Ditemui pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani MoU itu di sini, Ewon berkata MoU yang ditandatangani bersama UPSI itu adalah untuk tempoh lima tahun bersama sasaran 30 pelajar bagi program berkenaan setiap tahun, dengan pembiayaan maksimum RM50,000 sepanjang pengajian bagi setiap pelajar.