fb fb fb fb fb

YBR tawar biasiswa kepada 25 pelajar cemerlang Program Matrikulasi

(Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali ketika sidang media pada Majlis Pemeteraian MoU
antara Kementerian Pendidikan dan Yayasan Bank Rakyat di Putrajaya hari ini/Foto BERNAMA)

PUTRAJAYA, 8 Mei - Yayasan Bank Rakyat (YBR) bersetuju menawarkan biasiswa kepada 25 pelajar cemerlang lepasan Program Matrikulasi sesi 2021/2022.

Penajaan kemudahan pembiayaan pendidikan kepada pelajar Melayu dan Bumiputera itu bagi mereka membiayai pengajian di peringkat ijazah pertama.

Biasiswa itu diperkenalkan adalah untuk mambantu pelajar melanjutkan pengajian semester pertama secara sepenuh masa pada tahun ini dalam bidang data sains, kejuruteraan, perakaunan dan perakaunan profesional.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata biasiswa itu adalah antara komitmen YBR dalam pendidikan bagi memelihara kebajikan pelajar cemerlang Program Matrikulasi daripada latar belakang ekonomi B40 dan asnaf.

"Alhamdulillah apa yang kita usahakan hari ini bersama YBR ialah untuk memastikan semua anak-anak yang tentu ada cabaran dalam kehidupan mereka dapat kita bela dan kita bantu, dari segi teknikalnya, pihak Bahagian Matrikulasi sentiasa mengadakan kaedah-kaedah untuk permohonan menggunakan sistem yang lebih adil pada semua pihak,"

Beliau menyatakannya dalam sidang media selepas Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Pendidikan dengan Yayasan Bank Rakyat (YBR), di sini hari ini.


(Ketua
 Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali dan Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Syaiful
Rizal Abdul Ghani bertukar-tukar dokumen pada Majlis Pemeteraian MoU antara Kementerian Pendidikan 
dan Yayasan Bank Rakyat di Putrajaya hari ini/ Foto BERNAMA) 

Mengulas mengenai pemeteraian berkenaan, Pkharuddin berkata YBR bersetuju untuk menawarkan biasiswa kepada para pelajar cemerlang lepasan Program Matrikulasi KPM membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM4.7 juta.

Peruntukan tersebut melibatkan seramai 100 pelajar dari tahun 2022 hingga 2025.

Dalam pada itu, Pkharuddin memaklumkan semua pengarah pendidikan negeri dan daerah diarah supaya memberi keutamaan terhadap kerja penyelenggaraan kipas di sekolah menerusi peruntukan yang disalurkan berikutan fenomena cuaca panas serta kering berpanjangan.

Perkara itu dimaklumkan dalam mesyuarat diadakan pada Rabu lepas.

"Kita telah pun mengeluarkan surat siaran untuk memastikan semua pengetua, guru besar, pemimpin di peringkat daerah dan negeri prihatin, perkara utama yang kita tegaskan adalah supaya tak ada aktiviti di luar bilik darjah, jadi bila semua berada di dalam bangunan, tentulah pengudaraan dalam kelas juga kita bagi perhatian.

"Jadi di KPM, peruntukan penyelenggaraan diberikan kerajaan sentiasa kita agihkan seadilnya ke peringkat negeri dan daerah. Jadi, pesan kita kepada pengarah-pengarah di negeri supaya belanjakan peruntukan penyelenggaraan secepat yang mungkin, memberi keutamaan kepada keperluan, kalau hari ini dengan 'heat wave', sudah tentulah selenggara kipas, itu lebih penting," jelas beliau.

Media Baharu