(Foto Hiasan)
PUTRAJAYA, 8 Mei- Rang Undang-Undang (RUU) Ombudsman Malaysia 2023 akan dibentangkan di Parlimen, Oktober ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata RUU tersebut kini di peringkat akhir untuk dimuktamadkan bagi mendapatkan pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
"Ombudsman Malaysia akan berfungsi untuk menerima, mengendali dan menyelesaikan aduan berkaitan salah tadbiran sistem penyampaian perkhidmatan awam," katanya.
Beliau bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Sesi Libat Urus Penubuhan Ombudsman Malaysia, di sini hari ini.
(Datuk Seri Azalina Othman Said)
Ia juga akan bertindak sebagai satu badan bebas yang mengamalkan konsep tidak memihak dalam menguruskan aduan yang disalurkan oleh orang awam terhadap sistem penyampaian perkhidmatan awam.
Tambahnya Ombudsman merupakan satu konsep yang diterima pakai dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.
115 daripada 195 negara di dunia mempunyai institusi Ombudsman.