LONDON, 8 Mei- Seni kraf tradisional yang semakin hilang perlu dihidupkan dan diketengahkan semula.
Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam titahnya, antara kraf tradisional yang wajib dipulihara antaranya seni Keringkam dan seni Telepuk dengan cara memakai atau menggunakannya secara lebih kerap.
"Seni kraf ini amat cantik dan sangat bernilai. Ia menjadi tanggungjawab kita untuk memelihara seni kraf tradisional negara selain kita dapat tunjukkan kepada dunia teknik-teknik seni yang kita guna pakai dalam penghasilan produk kraf," titah baginda kepada pemberita di London.
Baginda bertitah kraf seni tersebut sebenarnya mendapat permintaan yang tinggi dan penghasilannya hanya terdapat di beberapa negara di rantau Asia.
Titah baginda lagi, sudah tiba masanya pereka tempatan menghasilkan gabungan keindahan setiap seni kraf tradisional tempatan khususnya seni kraf tekstil.
Penyertaan Malaysia dalam pameran Minggu Kraf London (LCW) kali ini diketuai Yayasan Tenunan Pahang Diraja dan disokong Kementerian Luar Negeri, kerajaan negeri Pahang dan Sarawak, Kraftangan Malaysia dan Songket Diraja Terengganu.
Pameran edisi kedua Malaysia berlangsung di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square itu termasuk demonstrasi dan bengkel secara langsung, antara lain ukiran kayu, penyepuhan tekstil, anyaman tikar, songket, sulaman dan manik suku.
(Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah/Foto FB Istana Negara)