fb fb fb fb fb

YBR sediakan bantuan persekolahan bernilai RM315,000 untuk 3,150 murid sekolah rendah

SUNGAI PETANI, 26 Februari - Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyediakan peruntukan bantuan persekolahan berjumlah RM315,000 kepada 3,150 murid sekolah rendah dan menengah di Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Ia bersempena dengan pembukaan semula sesi persekolahan pada Mac akan datang.

Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin berkata sumbangan wang tunai sebanyak RM100 seorang itu bertujuan untuk membantu meringankan beban mereka terutama keluarga B40 untuk menyediakan kelengkapan persekolahan.

Tambahan pula, situasi masyarakat kini yang terkesan daripada segi sumber pendapatan akibat gelombang COVID-19 yang melanda negara sejak dua tahun lalu.

"Secara keseluruhannya YBR telah memperuntukkan hampir lebih daripada RM3 juta untuk kita memberikan bantuan persekolahan kepada mereka yang memerlukan di seluruh negara. Kita faham dalam keadaan situasi yang sukar, setiap bantuan ini adalah dialu-alukan dan amat penting kepada mereka yang memerlukan," kata Megat kepada RTM selepas menyampaikan Bantuan Persekolahan parlimen Merbok, di sini.

Sejak tahun 2018 hingga kini, seramai 39,397 murid telah menerima manfaat melalui bantuan persekolahan YBR melibatkan peruntukan sebanyak RM5.12 juta.

Media Baharu