JOHOR BAHRU, 26 Februari- Seorang petugas media yang membuat liputan proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini dikompaun RM1,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.
Wartawan Sin Chew Daily Johor, Wong Kian Yong, 42, yang bertugas di Pusat Penamaan Calon (PPC) Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin dikompaun oleh wakil Kementerian Kesihatan (KKM) yang menjalankan tugas di PPC tersebut mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 berikutan gagal memastikan penjarakan fizikal.
Wong berkata situasi tersebut adalah di luar kawalan dan dia hanya menjalankan tugas seperti biasa.
“Saya agak kecewa sebab kalau ikutkan bukan saya seorang sahaja di situ, ramai lagi tetapi hanya saya seorang yang kena kompaun.
“Kalau boleh saya mahu merayu kurangkan lagi jumlah kompaun," katanya ditemui di PPC itu di Dewan Jabatan Kerja Raya Daerah Johor Bahru di sini hari ini.
Sementara itu, wartawan Malaysia Gazette, Khairulanuar Yahaya, 47, pula dikenakan amaran terakhir secara lisan oleh wakil KKM tersebut atas dakwaan sama.
Khairulannuar berkata beliau diberi amaran kerana melanggar SOP ketika mendapatkan maklumat calon.- BERNAMA