IPOH, 26 Februari - Peningkatan kes COVID-19 di seluruh negara dijangka memberi impak kepada industri pelancongan di negeri Perak.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri, Dato' Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata orang ramai mula berasa bimbang untuk keluar terutama mereka yang mempunyai anak kecil.
Jelasnya, ia berikutan ramai dalam kalangan kanak-kanak masih belum menerima suntikan vaksin COVID-19.
"Jadi, saya melihat ini akan membawa sedikit impak dari segi kekurangan pelancong-pelancong yang masuk berbanding sewaktu tempoh cuti sekolah pada bulan Disember lalu.
"Kita menjangkakan kekurangan jumlah pelancong, kerana kita baru sahaja bermula. Setakat ini, saya belum menerima laporan", katanya pada sidang media Pra Pelancaran Tasik Cermin Eco Park, di sini.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan Pulau Sembilan di Bagan Datuk masih belum beroperasi sepenuhnya.
Menurutnya proses rehabilitasi sedang dijalankan sebelum pulau tersebut kembali dibuka kepada orang awam.