fb fb fb fb fb

Yayasan TZA salur RM300,000 kepada 10 sekolah terpilih laksana Program ACE SPM 2025

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz

SELAYANG, 11 September – Yayasan TZA menyalurkan pembiayaan berjumlah RM300,000 kepada 10 sekolah terpilih di Selangor bagi menjayakan Program ACE Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, yang berlangsung dari Jun lalu hingga Oktober depan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata peruntukan itu turut merangkumi tambahan sebanyak RM3,500 bagi setiap sekolah bagi menampung pelaksanaan program-program berkaitan.

Menurutnya, inisiatif tersebut bukan sahaja bertujuan meningkatkan prestasi akademik pelajar, malah membina sistem sokongan sosial yang kukuh serta mewujudkan ekosistem pembelajaran berterusan.

“Untuk pastikan ketelusan, kita akan pantau dan nilai secara berkala bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan. Kita juga telah wujudkan kumpulan WhatsApp untuk penyelaras di setiap sekolah bagi memudahkan komunikasi dan pemantauan. Saya difahamkan, pihak sekolah akan menyediakan laporan bulanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kirana Budi Yayasan TZA di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ideal Heights, di sini, hari ini.

Tengku Zafrul yang juga Penasihat Yayasan TZA berkata, Program ACE SPM 2025 menyediakan tuisyen percuma kepada semua pelajar Tingkatan 5, dengan seramai 4,000 pelajar bakal menerima akses kepada sesi tuisyen fizikal.

“Dianjurkan dari Jun hingga Oktober 2025, program ini membiayai 16 sesi tuisyen setiap bulan. Kita juga akan adakan fasa intensif dua bulan sebelum SPM untuk pastikan pelajar betul-betul bersedia,” katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN