JOHOR BAHRU, 11 September -Industri herba negara terus mencatat perkembangan positif, selari dengan peningkatan permintaan hasil herba dan rempah ratus dalam pasaran dalam serta luar negara.
Ketua Penolong Pengarah Kanan Seksyen Padi dan Tanaman Industri, Bahagian Pembangunan Industri Tanaman, Rivoldiantoe Basran berkata, keluasan tanaman herba dan rempah ratus juga meningkat kepada 8,467 hektar, pada tahun 2024 berbanding 8, 432 hektar tahun 2023.
Katanya, nilai pengeluaran hasil herba dan rempah ratus juga mencecah 69,041 metrik tan.
Peningkatan itu akan berlaku secara berterusan terutamanya di Johor kerana menerima permintaan tinggi di pasaran tempatan dan eksport ke Singapura.
"Kita lihat peningkatan daripada segi permintaan untuk industri herba semakin meningkat. Dan antaranya yang boleh kita lihat tumpuan-tumpuan kepada herba seperti rozel untuk menggantikan model-model untuk menggantikan bahan import yang kita ambil dari luar," katanya kepada pemberita ketika Majlis Perasmian Program Penemusuaan Peneraju Industri Herba Negeri Johor di Ulu Tiram, di sini.