fb fb fb fb fb

Pemisahan kuasa Peguam Negara: Hapus potensi konflik kepentingan

Istana Kehakiman Putrajaya

KUALA LUMPUR, 11 September - Majlis Peguam Malaysia menyifatkan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya sebagai pembaharuan institusi yang penting serta lama dinantikan untuk menghapuskan potensi konflik kepentingan.

Presidennya, Datuk Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, langkah itu memerlukan penyesuaian awal dari segi prosedur untuk menyelaras dua pejabat berasingan demi memastikan pendakwaan lebih telus dan bebas.

“Ini adalah pembaharuan struktur yang diperlukan bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap proses pendakwaan,” katanya ketika dihubungi Berita RTM, hari ini.

Menurut beliau, persetujuan kerajaan itu penting bagi memperkukuh kebebasan pendakwaan, namun tidak menjamin sabitan dalam semua kes berprofil tinggi.

"Keputusan mahkamah tetap bergantung kepada kualiti siasatan, kekuatan bukti, dan proses kehakiman," katanya.

Mohamad Ezri menjelaskan, Majlis Peguam turut terlibat dalam Kajian Empirikal berhubung pelaksanaan pengasingan kuasa berkenaan sebelum keputusan dimuktamadkan kerajaan.

“Majlis Peguam menyokong sepenuhnya pemisahan kuasa ini kerana ia memperkukuh kedaulatan undang-undang, kebebasan pendakwaan serta keyakinan awam terhadap sistem keadilan negara,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus memantau supaya pelaksanaan reformasi itu berjalan telus, inklusif dan berperingkat agar manfaatnya dapat dirasai rakyat serta institusi keadilan negara.

Perlembagaan akan dipinda

Antara perlembagaan yang akan dipinda ialah Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 145, Perkara 183 dan Perkara 42.

Ketiga-tiga perlembagaan itu akan digubal secara berasingan bagi mewujudkan kedudukan Pendakwa Raya yang berkuasa sendiri.

Dalam pada itu, satu Rang Undang-Undang Pembaharuan Undang-Undang (Pendakwa Raya) akan digubal secara omnibus untuk meminda Kanun Tatacara Jenayah dan 18 akta lain yang berkaitan.

Pada masa yang sama, satu akta baharu khusus mengenai saraan Peguam Negara dan Pendakwa Raya juga akan diwujudkan sebagaimana Akta Saraan Hakim 1971 [Akta 45].

Keputusan Jemaah Menteri

Keputusan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dimuktamadkan pada mesyuarat Jemaah Menteri semalam selepas pembentangan beberapa model pengasingan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan pengasingan penuh dengan mewujudkan dua jawatan itu secara berasingan serta setara dalam Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan itu dibuat selepas meneliti Laporan Akhir dan Hala Tuju Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif bagi memastikan pelaksanaan reformasi itu lebih menyeluruh.

GRACE AISYAH KEDAYAN