fb fb fb fb fb

Yayasan Tan Sri Ahmad Ibrahim, beri khidmat guaman untuk Keluarga Malaysia - PM

Foto FB PM

KUALA LUMPUR, 17 Jun- Kerajaan bersetuju untuk menubuhkan Yayasan Tan Sri Ahmad Ibrahim sebagai klinik bantuan guaman kepada Keluarga Malaysia yang tidak berkemampuan.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebanyak RM1 juta akan diperuntukkan bagi merealisasikan tujuan itu.

"Yayasan ini ditubuhkan bersempena dengan nama Tan Sri Ahmad Ibrahim sebagai menghargai sumbangan tokoh perundangan yang bukan hanya disegani dan diiktiraf di Malaysia bahkan juga di peringkat antarabangsa.

Untuk merealisasikan hasrat murni ini, kerajaan bersetuju memperuntukkan RM1 juta bagi tujuan penubuhan Yayasan Tan Sri Ahmad Ibrahim," kata Ismail Sabri dalam ucapannya semasa merasmikan Perayaan Jubli Emas, Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM) di ibu negara.

Selain itu, kerajaan juga bersetuju untuk mewujudkan Tabung Kebajikan Keluarga Malaysia dan pembangunan semula ASEAN Legal Information Portal.

Kedua-dua inisiatif itu masing-masing membabitkan dana permulaaan sebanyak RM500,000.

Tabung Kebajikan Keluarga Malaysia bertujuan untuk membantu proses pembelajaran para siswazah Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya daripada keluarga B40 dengan lebih lancar.

Turut hadir, Dekan Fakulti Undang-Undang UM, Datuk Profesor Madya Dr Johan Samsudin Sabaruddin, Presiden Alumni Rumpun Fakulti Undang-Undang UM, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil serta Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.


(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merasmikan Perayaan Jubli Emas Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM) di ibu negara)

Dalam pada itu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri telah diarahkan untuk mengkaji dan meneliti 147 undang-undang sedia ada yang telah lapuk.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob transformasi undang-undang itu perlu dilaksanakan mengikut keadaan semasa.

"Penambahbaikan ini juga akan menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia. Sebagai contoh, teknologi digital hari ini semakin pesat membangun. Dalam konteks ini, undang-undang yang sedia ada tidak relevan dengan ledakan teknologi digital, bahkan agak terkebelakang dengan perubahan semasa," tambahnya.

Tambah beliau lagi, beberapa langkah proaktif juga telah diambil untuk memperkasakan undang-undang di Malaysia.

Ia termasuklah hukuman berkenaan mati mandatori, RUU Anti Lompat Parti, RUU Dana Sumbangan Politik serta Doktrin Pengasingan Kuasa dan Hubungan Antara Eksekutif dan Kehakiman.

Media Baharu