(Alexander Nanta Linggi menyerahkan Watikah Pelantikan Ahli MPPN Sesi 2022 – 2023 kepada
Mohd Azmi Abd. Hamid (tiga dari kanan) di KPDNHEP Putrajaya/FOTO FB Alexander)
PUTRAJAYA, 17 Jun - Seramai 16 ahli Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN) baharu yang diketuai aktivis pengguna, Mohd Azmi Abd Hamid menerima watikah pelantikan masing-masing, bagi sesi 2022/2023, pada Khamis.
Penyerahan watikah perlantikan itu disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di Putrajaya.
"Kita mengharapkan idea yang boleh kita gunakan dari segi penambahbaikan KPDNHEP untuk melindungi dan menjaga hak pengguna serta mampu memahami peranan industri," katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Portal My Safe dan Penyerahan Watikah Pelantikan Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN), di sini semalam.
Sementara itu, menurut Mohd Azmi yang juga Pengerusi MPPN penelitian khusus mengenai isu kepenggunaan seperti harga ayam dan barangan keperluan antara tumpuan pasukkannya.
"Sekarang kita memikirkan bagaimana hendak membuat kerangka baru yang segar dengan mengambil kira faktor-faktor yang sedang berlaku sekarang.
"Kita harap dapat memberi penekanan, kesedaran dan pendidikan kepada pengguna dengan pengetahuan undang-undang selain kesedaran pengguna yang dipanggil kendiri dan juga budaya hidup," katanya.
Individu lain yang turut dilantik masing-masing, Presiden Persatuan Pengilang dan Industri Bumiputera Malaysia, Datuk Azman Yusof dan selebriti dan ahli perniagaan, Datuk Rosyam Noor.