fb fb fb fb fb

Yayasan Kebajikan Perlis salur sumbangan sempena Aidilfitri

KANGAR, 30 April- Menjelang sambutan Aidilfitri, Yayasan Kebajikan Perlis komited untuk terus menyalurkan pelbagai sumbangan keperluan Aidilfitri kepada golongan yang memerlukan di Perlis.

Menerusi Program Kasih Aidilfitri, penyerahan sumbangan disampaikan terus kepada penerima dari rumah ke rumah supaya dapat melihat sendiri keperluan
dan keadaan setiap penerima.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Affendi Rajini Khan berkata, bagi sambutan Syawal kali ini, pihaknya menyalurkan bantuan kepada 50 penerima mengikut keperluan setiap penerima.

Antara yang disumbangkan adalah barangan keperluan harian, barangan keperluan diri dan penjagaan diri termasuk untuk pesakit terlantar yang diagihkan secara berperingkat.

"Dengan bantuan ini, mereka dapat menyambut ketibaan Syawal seperti mana keluarga-keluarga lain yang menyambut dan pihak kami juga cuba sedaya upaya untuk mendekati semua lapisan masyarakat yang sentiasa mengharapkan ketibaan Syawal dengan penuh kegembiraan. Kita berharap bantuan-bantuan yang kita berikan ini akan mengurangkan sedikit bebanan, mungkin juga dari segi tekanan dan perasaan hiba," katanya.

Affendi menyatakannya ketika ditemui pada Program Kunjungan dan Penyerahan Sumbangan Kasih Aidilfitri sekitar Kangar yang memberi tumpuan kepada pesakit terlantar, asnaf dan orang kurang upaya (OKU).


(Program Kasih Aidilfitri anjuran Yayasan Kebajikan Perlis menyantuni pesakit terlantar)

Setiap penerima yang dipilih berdasarkan maklumat orang awam agar bantuan disalurkan kepada mereka yang benar-benar layak dan tidak memperolehi sebarang bantuan dari pihak lain termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Media Baharu