fb fb fb fb fb

YaPEIM agih 250 kg daging segar, bantu kumpulan B40

SINTOK, 22 September- Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) mengagihkan sebanyak 250 kilogram (kg) daging segar kepada komuniti golongan B40 sekitar Kubang Pasu termasuk staf anak syarikat Universiti Utara Malaysia (UUM).

Seramai 250 penerima masing-masing mendapat 1kg daging segar dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM10,000 berdasarkan harga daging semasa.

Naib Canselor UUM Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berterima kasih kepada YaPEIM atas sumbangan tersebut, sekali gus membantu mereka yang belum menerima gaji untuk membeli barang keperluan.

“Saya juga ingin menyeru kepada rakan-rakan lain untuk membuat kebajikan melalui potongan gaji bulanan kepada YaPEIM kerana yayasan ini akan menyalurkan sumbangan yang diterima itu kepada golongan sasaran yang memerlukan,” katanya kepada pemberita di sini.

Penyerahan Foodbank 5.0 itu turut mendapat kerjasama Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB).

Turut hadir pada majlis itu, Pengurus YaPEIM Wilayah Utara, Fauzi Adnan; Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), SEFB, Prof. Madya Dr. Rasidah Mohd Rashid dan Pengerusi Jawatankuasa Jaringan dan Khidmat Komuniti, SEFB, Khairul Anuar Adnan.

Sementara itu, Fauzi berkata kerjasama kali kelima itu turut "menyalurkan bantuan berupa barangan dapur dan daging segar kepada masyarakat setempat terdiri B40, YaPEIM juga menghulurkan sumbangan makanan kepada pelajar terpilih.

“Sumbangan yang diterima YaPEIM ini merupakan hasil sumbangan orang ramai yang dikembalikan semula kepada komuniti yang memerlukan,” katanya.

Selain UUM, YaPEIM turut mengedarkan bantuan sama di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis dan Institut Kemahiran MARA Alor Setar.

(Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan (kiri) pada majlis Foodbank 5.0 di UUM)

Media Baharu