fb fb fb fb fb

Lima lelaki dipercayai terbabit dadah ditahan

IPOH, 22 September - Polis Perak menahan lima lelaki yang dipercayai terbabit aktiviti pengedaran dadah pada Rabu lalu.

Penahanan kesemua suspek berusia 20 hingga 27 tahun itu, dilakukan di dua lokasi berbeza di sekitar Ipoh.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata tiga suspek ditahan di tepi Jalan Gopeng, Kampung Gunung Rapat ketika mereka berada dalam sebuah kenderaan kira-kira pukul 9.15 malam.

"Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan tersebut telah menjumpai dadah dipercayai jenis ketamin anggaran berat 26.1 kilogram, yang kedua cecair disyaki dadah ketamine anggaran berat 3350 mililiter dan ketiga dadah methamphetamine anggaran berat 1.82 gram,"kata Mohd Yusri Hassan, di sini.

(Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri
bercakap kepada media dalam sidang media)

Susulan penahanan tersebut, polis kemudian menahan dua lelaki di sebuah rumah di Kampung Rapat, di sini dipercayai terlibat aktiviti pengedaran dadah ketamine.

Ujian saringan air kencing mendapati empat daripada suspek positif dadah jenis THC selain mempunyai rekod kesalahan lampau.

Polis turut menyita sebuah kenderaan, dua buah motosikal dan wang tunai berjumlah RM380 dengan nilai keseluruhan rampasan dadah bersama harta yang disita berjumlah lebih RM1.6 Juta.

Sindiket dipercayai aktif mengedar dadah sejak awal September 2023 dan dadah yang dirampas disyaki untuk edaran pasaran tempatan.

Kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesemua suspek direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

Media Baharu