fb fb fb fb fb

Yakin Kerajaan Perpaduan kekal hingga habis penggal - PM

PUTRAJAYA, 7 Mac- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin Kerajaan Perpaduan pimpinannya akan kekal bertahan sehingga ke akhir penggal pentadbiran.

Keyakinan itu disuarakan beliau sebagai mengulas kenyataan negatif Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mendakwa Kerajaan Perpaduan akan tumbang.

Tegasnya, sudah menjadi tanggungjawab Kerajaan Perpaduan hari ini untuk melaksanakan fungsinya sebaik mungkin bagi membawa perubahan kepada negara.

Ia dapat dicapai melalui pelaksanaan urusan pentadbiran kerajaan dengan mengamalkan prinsip tatakelola yang baik.

"Ini sudah menjadi tugas kerajaan dan pentadbiran hari ini walau apa jua yang disebut Presiden Pas, saya yakin gabungan kerajaan hari ini akan bertahan sehingga akhir penggalnya.

"Ia bukan sekadar retorik politik. Saya memberi mesej yang jelas kepada Malaysia yang kita akan melakar haluan yang berbeza.

"Perubahan ini wajib dilakukan demi menyelamatkan negara ini daripada sebarang keadaan huru-hara yang kita pernah lalui," katanya.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim)

Beliau menyatakan demikian pada sesi interaksi Perdana Menteri bersama Ketua-Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia secara maya, di sini hari ini.

Tambah Anwar, mesej itu juga harus difahami sebaiknya golongan profesional dan pegawai-pegawai diplomatik bagi memastikan ia dapat dijayakan.

Program bertemakan diplomasi dalam dunia global dari lensa Malaysia Madani itu disertai 106 wakil pejabat perwakilan diplomatik Malaysia dari seluruh dunia.

Media Baharu