fb fb fb fb fb

Ops Cegah 2022 rekod penurunan kadar kemalangan - Perkeso

KUALA LUMPUR, 7 Mac- Kadar kemalangan perjalanan dan kemalangan industri merekodkan penurunan melalui pelaksanaan Ops Cegah 2022.

Inisiatif oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu menyampaikan mesej mudah mengenai kemalangan pekerjaan.

Selain memberi panduan kepada majikan dan pekerja tentang amalan terbaik dan berkesan menangani isu berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di tempat kerja dan ketika dalam perjalanan di jalan raya.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata sebanyak 26 majikan sudah terkeluar daripada senarai 100 majikan tertinggi kemalangan Perkeso dalam ketegori kemalangan perjalanan.

Ia menunjukkan penurunan kadar kemalangan antara 12 hingga 80 peratus pada tahun lalu berbanding 2021.

Sementara itu, 32 majikan pula sudah berjaya keluar daripada senarai 100 majikan tertinggi dalam kemalangan industri dengan pengurangan antara enam hingga ke 80 peratus.

"Seperti yang sering saya tekankan usaha pencegahan kemalangan ini bukanlah satu kos sebaliknya merupakan satu pelaburan yang akan menguntungkan majikan dalam masa jangka panjang," katanya.

(Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed)

Beliau menyatakan demikian pada Majlis Pelancaran Ops Cegah 2023 yang bertema 'Kebersamaan Mengurangi Risiko Kecederaan dan Kematian Pekerja', di sini hari ini.

Ops Cegah tahun ini dijalankan selama dua minggu bermula 7 hingga 22 Mac ini, serentak di seluruh negara.

Pihaknya turut menyasarkan lawatan ke lebih 1,000 premis majikan seluruh negara berdasarkan senarai Top 100 dan Top 20 pada tahun lalu.

Pelaksanaannya juga akan dilakukan secara bersepadu bersama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH).

Media Baharu