fb fb fb fb fb

Banjir: TNB giat pulih bekalan elektrik di Johor, Pahang

KUALA LUMPUR, 7 Mac- Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang giat memulihkan bekalan elektrik di daerah-daerah di Johor dan Pahang yang terjejas akibat banjir, dengan keselamatan awam sentiasa menjadi pertimbangan utama.

Sehingga pukul 8.00 pagi tadi, TNB dapat menyambungkan semula bekalan secara berperingkat, dengan 70.68 peratus daripada kawasan terjejas di Johor telah berjaya dipulihkan dan Pahang (92.69 peratus).

Manakala Melaka dan Negeri Sembilan telah pulih sepenuhnya.

Menurut Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengurusan Stakeholder TNB, Datuk Ts. Shamsul Ahmad, warga kerja barisan hadapan TNB sedang bertungkus lumus di lapangan supaya bekalan dapat disalurkan secara berperingkat, bergantung kepada akses dan keadaan setempat.

"Dalam suasana banjir terutama premis yang dinaiki air, orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati menggunakan peralatan elektrik dan suisnya.

"Jangan menyentuhnya dengan tangan basah dan lembap kerana boleh menyebabkan renjatan elektrik," katanya ketika meninjau keadaan semasa banjir di Negeri Johor, pada Isnin.

(Shamsul Ahmad, melawat penduduk terjejas banjir di Pusat Pemindahan
Sementara (PPS) Sekolah Agama Seri Maimon, Batu Pahat, Johor)

Terdahulu beliau meyampaikan maklumat terkini kepada Mesyuarat Task Force Banjir di Negeri Johor yang dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh di Bilik Mesyuarat Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Muar.

Shamsul berkata, TNB akan segera memberikan semula bekalan elektrik sebaik keadaan infrastruktur dan keselamatan premis pengguna mengizinkan, dengan pemeriksaan menyeluruh pendawaian perlu dilakukan oleh kontraktor berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga (ST) demi keselamatan mereka.

"Bekalan tidak boleh disambung begitu sahaja kerana penduduk perlu memastikan keadaan rumah mereka bersedia menerima bekalan elektrik.

"Pendawaian dan peralatan elektrik yang ditenggelami air mungkin terjejas serta perlu dibersihkan dan diperiksa terlebih dahulu bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Di pihak TNB pula, katanya, tindakan utama ialah memulihkan pencawang dan aset lain seperti tiang tumbang dan membaik pulih kabel dengan mengujinya untuk memastikan ia selamat bagi menyalurkan bekalan.

TNB juga menasihati pengguna di kawasan banjir untuk sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan menghubungi TNB Careline di talian 15454 jika ada pepasangan TNB yang beralih atau tumbang.

Media Baharu