fb fb fb fb fb

Polis Kelantan rampas 795 kg syabu

PASIR MAS, 7 Mac - Sebanyak 795 kilogram dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM28.6 juta berjaya dirampas di sini dan Kuala Krai.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata rampasan pertama dibuat dalam sebuah kereta jenis proton Wira Aeroback di Kampung Pohon Buluh, Pasir Mas pada 12.00 tengah malam tadi.

Hasil pemeriksaan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am mendapati 20 guni mengandungi 495 paket dadah jenis syabu seberat 495 kilogram diletakkan di tempat duduk penumpang bahagian belakang kereta tersebut.

Nilai rampasan dianggarkan berjumlah lebih RM17 juta.

"Guni guni tersebut diletakkan di bahagian belakang kenderaan di mana 17 guni mengandungi 25 bungkusan dua guni mengandungi 24 bungkusan dan satu guni 22 bungkusan, setiap bungkusan beratnya 1 kilogram, bermakna rampasan keseluruhan dadah dalam kes ini ialah 495 kilogram anggaran nilai RM17.8 juta," kata Muhamad Zaki, di sini.

(Muhamad Zaki bercakap dalam sidang media)

Manakala bagi kes kedua, Muhamad Zaki berkata pihaknya berjaya merampas 300 paket dadah jenis syabu selepas unit peronda Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengejar sebuah kereta jenis Proton Exora di Kampung Batu Balai, Kuala Krai pada 7.15 pagi tadi.

Bagaimanapun tiada tangkapan berjaya dilakukan selepas pemandu kenderaan terbabit berjaya melarikan diri dalam kawasan kebun getah.

"Jumlah rampasan keseluruhan ialah sebanyak 300 kilogram dan dianggarkan lebih RM10 juta, jadi jumlah kedua dua kes ini adalah RM28.6 juta," katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

Media Baharu