fb fb fb fb fb

Majikan, pihak industri diminta miliki pasport keselamatan

KUALA LUMPUR, 7 Mac- Majikan serta pihak industri yang masih belum melaksanakan Program Pasport Keselamatan disaran berusaha ke arah mendapatkan pasport berkenaan.

Keperluan itu sebagai langkah untuk mengurangkan kadar kemalangan di tempat kerja.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata ia penting kerana pindaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 memberikan penekanan kepada prinsip pencegahan oleh pihak majikan.

Buat masa ini kementerian bagaimanapun tidak bercadang untuk mewajibkan penggunaan pasport berkenaan.

Namun menggalakkan majikan dan pihak industri memilikinya.

"Program latihan induksi pasport keselamatan ini amat penting kerana ia mampu meningkatkan aspek AKKP bagi sektor industri utama negara, modul yang dibangunkan juga wajib mematuhi peruntukan undang-undang termasuk AKKP 1994 selain perlu memenuhi hasrat kerajaan untuk mewujudkan budaya kerja selamat dan sihat," katanya.

(Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar)

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Apresiasi Rakan Strategik Pasport Keselamatan NIOSH, di sini hari ini.

Berdasarkan kajian NIOSH, para majikan didapati bersetuju Program Pasport Keselamatan itu memenuhi objektif dalam memberi kesedaran kepada pekerja terhadap aspek kesihatan dan pekerjaan serta dapat mengurangkan kadar kemalangan di tempat kerja.

Mengulas sama ada pasport berkenaan perlu dimiliki oleh penjawat awam, beliau berkata ketika ini fokusnya adalah untuk diberikan kepada kontraktor-kontraktor swasta dan kerajaan sahaja.

Media Baharu