fb fb fb fb fb

YADIM perhebat dakwah guna AI

Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Zamri Zainal Abidin

PUTRAJAYA, 25 Januari- Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) akan terus memperhebat usaha dakwah di negara ini melalui medium Artificial Intelligence (AI) atau kecerdasan buatan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Zamri Zainal Abidin, pendekatan dakwah yang diambil perlu selari dengan peredaran zaman yang dilihat semakin berkembang lebih-lebih lagi dalam teknologi AI supaya dapat menarik minat golongan muda.

"Kita perlu mula merancang untuk berada pada peringkat yang realistik, apakah yang akan kita wariskan pada generasi penggerak dakwah 50 tahun akan datang.

"Jadi untuk itu saya melihat apabila kita melangkah ke era yang lebih maju, YADIM tidak ketinggalan dan mesti berada sebagai pemain dalam AI ini, tidak kiralah sebesar mana kadar penyertaanya itu, yang paling utama ialah dakwah AI adalah merupakan suatu keutamaan YADIM sendiri,"katanya.

Katanya, YADIM akan terus mengorak langkah menuju 50 tahun mendatang dengan lebih usaha seiring dengan peredaran masa, bagi merancakkan lagi usaha dakwah di Malaysia.

Menurutnya, sempena sambutan ulang tahun ke-50 YADIM pada hari ini, usaha dakwah YADIM tidak hanya terbatas dalam mengajak orang memeluk Islam, malah ia boleh diterjemahkan menerusi keindahan Islam itu sendiri.

Selain itu, YADIM juga akan sentiasa menambah bilangan terbitan buku mereka setiap tahun bagi program dokumentasi ilmu melalui penulisan.

Menurut Zamri setakat ini, YADIM telah berjaya melahirkan 270 orang pendakwah muda yang akan bergerak ke seluruh negara menyampaikan dakwah termasuk ke kawasan pedalaman dan juga di Sabah dan Sarawak.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE