KUALA LUMPUR, 25 Januari- Sejumlah RM351 juta transaksi penipuan berjaya dihalang bagi tempoh Januari hingga Oktober 2023.
Tindakan itu membabitkan 13 bank ahli bawah Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM).
Langkah melindungi pelanggan mencerminkan komitmen tinggi industri perbankan terhadap usaha anti-penipuan, seperti kempen #JanganKenaScam.
Menerusi tindakan pengesanan dan pencegahan, ramai pelanggan diselamatkan daripada penipuan pelbagai skim seperti e-dagang, permohonan pekerjaan dan pancingan data.
ABM dan AIBIM akan terus bekerjasama rapat dengan agensi penguat kuasa undang-undang dan pengawal selia kewangan, untuk memastikan pelanggan kekal waspada melakukan transaksi kewangan.
Orang ramai turut digesa melaporkan aktiviti mencurigakan kepada bank masing-masing untuk tindakan selanjutnya atau hubungi Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NSRC) di talian 997.