KUALA LUMPUR, 18 Disember – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama 27 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta bagi memperkukuh pelaksanaan agenda dakwah negara secara lebih bersepadu dan berimpak tinggi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata kerjasama strategik tersebut merangkumi aspek dakwah melalui pembangunan modul, penerbitan dan penulisan berdasarkan kepakaran yang dimiliki oleh setiap universiti terbabit.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan/Foto BERNAMA
“Objektif kerjasama ini adalah untuk memperkasakan agenda berkenaan agar lebih berimpak serta memberi kesan positif kepada negara dan masyarakat.
"Menyedari cabaran dan realiti semasa yang semakin kompleks, kita memerlukan input daripada universiti sebagai institusi keilmuan bagi membimbing, memberi pencerahan serta melaksanakan penyelidikan dan kajian supaya gerak kerja dijalankan secara tuntas, sistematik dan berkesan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Menandatangani MoU antara YADIM dan IPT Awam dan Swasta di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, dan Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr Hasan Bahrom.
MoU yang berkuat kuasa antara tiga hingga lima tahun itu merangkumi kerjasama dalam bidang penyelidikan, penerbitan, pembangunan kepimpinan mahasiswa serta pelaksanaan program khidmat masyarakat secara berstruktur.
“Kita sudah mempunyai gerak kerja bersama universiti sebelum ini, namun inisiatif ini bersifat lebih tuntas, di mana kepakaran yang ada di institusi pengajian tinggi akan digunakan untuk bersama-sama mengorak langkah yang lebih baik,” tambahnya.
Kerjasama itu dijangka menjadi pemangkin kepada pengukuhan pembangunan insan dan kepimpinan mahasiswa, selain memperluas peranan IPT sebagai rakan strategik dalam agenda pembangunan sosial negara.