KUALA LUMPUR, 18 Disember - Kerajaan akan memperkenalkan Dana Inovasi Media bagi Fasa 1 yang akan dibuka bermula 1 hingga 14 Januari 2026 bagi menyokong transformasi industri media tempatan agar kekal relevan, berdaya saing dan berdaya tahan, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, dana berjumlah RM30 juta itu telah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) tahun ini.
"Dana Inovasi Media meliputi empat objektif utama iaitu menggalakkan penghasilan kandungan media yang kreatif, interaktif dan berimpak tinggi serta memperkasa kompetensi pengamal media melalui latihan bagi menyokong transformasi industri media menerusi projek inovatif melibatkan kandungan.
"Selain itu, ia turut membantu pengamal media dalam teknologi media dan strategi digital serta memperkukuh daya saing organisasi media dalam penyampaian maklumat tepat, relevan dan bermanfaat kepada rakyat," katanya pada sidang media di Angkasapuri Kota Media di sini, hari ini.
Datuk Fahmi berkata, bagi memastikan penyaluran dana dilaksanakan secara berintegriti dan berkesan, pemohon mestilah syarikat atau organisasi media tempatan yang berdaftar dengan Jabatan Penerangan Malaysia, termasuk mempunyai kakitangan pemegang kad perakuan media yang aktif.
Katanya, dana itu merangkumi empat skop utama, iaitu latihan kepada pekerja media sama ada melalui penganjuran latihan dalaman, penyertaan kursus anjuran pihak luar atau gabungan kedua-duanya, pembelian atau sewaan perisian serta adaptasi teknologi termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI).
"Ia juga meliputi perolehan atau sewaan peralatan, perkakasan dan kemudahan sokongan seperti peralatan studio dan rakaman serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi penghasilan kandungan, termasuk inovasi digital dan adaptasi teknologi AI," katanya.
Tambahnya, maklumat lanjut seperti dokumen dan borang permohonan boleh dimuat turun menerusi laman web www.komunikasi.gov.my mulai 1 Januari 2026.
Fasa seterusnya akan diumumkan sekiranya terdapat keperluan.