fb fb fb fb fb

Wujudkan sistem pemantauan data kes buli di sekolah

Foto fail / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Oktober -Sistem pemantauan berasaskan data terhadap kes buli dan salah laku pelajar perlu diwujudkan bagi menjamin keselamatan di sekolah.

Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Seri Doris Sophia Brodie berkata, latihan khusus kepada guru juga penting bagi meningkatkan kemahiran mengenal pasti tanda awal masalah tingkah laku dan bertindak secara proaktif.

Menurutnya, peruntukan besar berjumlah RM66.2 bilion kepada Kementerian Pendidikan (KPM) dalam Belanjawan 2026 tidak wajar hanya difokuskan kepada pembangunan fizikal.

“Menurut laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM), lebih 3,000 kes buli dilaporkan antara 2022 hingga 2024, dengan hampir 60 peratus berlaku di sekolah.

“Lebih membimbangkan, sebanyak 400 kes cabul dan rogol melibatkan remaja bawah umur direkodkan pada tahun lalu sahaja,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di Dewan Rakyat.

Beliau turut mencadangkan modul empati dan ihsan diwajibkan di sekolah, selain bilangan guru kaunseling dan pegawai psikologi ditingkatkan.

“Sekurang-kurangnya seorang kaunselor bagi setiap 200 pelajar perlu diwujudkan untuk membantu membendung masalah disiplin dan salah laku di sekolah,” ujarnya lagi.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN