fb fb fb fb fb

Jumlah penerima pendidikan percuma mengikut keperluan semasa

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (kanan) meluangkan masa beramah mesra bersama pelajar antarabangsa pada Majlis Perasmian Penutup Meet and Greet with International Students (MAGNET) di Banda Hilir, hari ini./ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Oktober – Jumlah pelajar yang bakal menikmati kemudahan pendidikan percuma bawah Belanjawan 2026, akan ditentukan mengikut proses pengambilan tahunan di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) selaras dengan kapasiti dan keperluan semasa.

Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, inisiatif itu memberi peluang kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah untuk melanjutkan pengajian tanpa kekangan kewangan.

“Senarai penerima bergantung kepada pengambilan baharu setiap tahun. Sekitar kita mungkin ada lebih daripada 5,800, tetapi bilangan itu mungkin berbeza-beza menurut keadaan tertentu proses pengambilan tahun-tahun tertentu,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Dialog Dasar Kesatuan Eropah (EU) – ASEAN Pendidikan Tinggi di sini, hari ini.

Dr. Zambry turut menegaskan pelaksanaan dasar itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan pelajar pintar daripada keluarga miskin tidak terpinggir daripada peluang pendidikan tinggi negara.

Sementara itu, mengenai Dialog Dasar EU–ASEAN Pendidikan Tinggi, Dr. Zambry berkata pertemuan itu memberi tumpuan kepada kerjasama pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) antara negara ASEAN dan Kesatuan Eropah.

Beliau menjelaskan, perbincangan berkenaan turut menumpukan kepada usaha menggubal dasar baharu berkaitan TVET dan pembangunan bakat untuk memperkukuh tenaga kerja mahir serantau.

“Apa yang mereka bincangkan pada hari ini untuk mengemukakan bagaimana EU dan ASEAN dapat mengemukakan satu polisi baharu berkaitan dengan TVET dan juga talent development (pembangunan bakat) dalam negara-negara ASEAN,” jelasnya.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID