fb fb fb fb fb

Wujudkan semangat akomodasi antara kaum, demi keharmonian negara - Agong

FOTO BERNAMA

SHAH ALAM, 5 Ogos - Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa perjuangan memartabatkan sesuatu bangsa tidak membawa kepada polarisasi yang mampu menggugat perpaduan dan keharmonian kaum.

Sebaliknya, polarisasi akan wujud jika hubungan antara kaum semakin renggang danĀ terhakis.

Tambah baginda, polarisasi mampu mengundang unsur radikalisme dan ekstremisme yang menggugat penyatuan masyarakat.

"Beta menyeru kepada universiti ini, serta seluruh institusi pengajian tinggi awam dan swasta untuk memainkan peranan ke arah mewujudkan semangat akomodasi antara kaum.

Kita boleh terus memartabatkan nasib dan masa hadapan kaum masing-masing menerusi pendidikan tetapi pada masa yang sama tidak mengetepikan usaha ke arah pembentukan satu identiti nasional," titah baginda dalam Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-97, hari ini.

Baginda bertitah lagi, tanpa semangat akomodasi dan kesepaduan antara kaum, hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju akan gagal.

Selain itu, modal insan adalah wadah terpenting bagi mewujudkan pembangunan lestari sesebuah negara dan berupaya meningkatkan daya saing dan produktiviti.

Seri Paduka Baginda yang merupakan Tuanku Canselor UiTM menganugerahkan ijazah Doktor Falsafah kepada 100 graduan dalam pelbagai bidang dan 14 penerima Anugerah Graduan Terbaik (AGT UiTM 2022) di Dewan Agung Tuanku Canselor, Shah Alam hari ini.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada UiTM atas pengalaman manis dan berharga sepanjang baginda menjadi Canselor Universiti itu.


(FOTO BERNAMA)

Media Baharu