KOTA BHARU, 5 Ogos- Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) akan mewujudkan poliklinik kesihatan khas bagi veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menjaga kebajikan golongan itu dalam aspek kesihatan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, penubuhan poliklinik itu akan diutamakan di negeri atau kawasan yang mempunyai kepadatan veteran ATM yang tinggi seperti Kelantan, Kedah dan Perak.
“Kita akan bawa cadangan itu tahun ini. Jadi, bergantung kepada Kementerian Kewangan dan MINDEF itu sendiri secara dasarnya, saya fikir ia boleh dimanfaat bukan sahaja untuk veteran, di samping untuk ATM.
Tetapi ini khusus untuk veteran angkatan tentera yang saya fikir itu lebih praktikal dengan kemampuan kewangan sedia ada kita. Saya fikir ia dapat kita lakukan dalam tempoh yang singkat," kata Adly kepada pemberita pada sidang media di Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Negeri Persatuan Veteran ATM Negeri Kelantan ke-54 Tahun 2023, di sini.
Turut hadir sama, Timbalan Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Datuk Sazali Ismail dan Yang Dipertua PVATM Negeri Kelantan, Ab Aziz Awang Lah.
(Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan
Negeri Persatuan Veteran ATM Negeri Kelantan ke-54 Tahun 2023)
Beliau turut mengulas lanjut, perkhidmatan kesihatan termasuk penyediaan bantuan perubatan dan peralatan kesihatan akan diberikan secara percuma sepanjang hayat kepada veteran ATM sebagai penghargaan terhadap pengorbanan mereka kepada negara.
Selain daripada menumpukan terhadap aspek kesihatan, MINDEF turut memandang serius berkait kebajikan, perumahan, pendidikan dan pemerkasaan ekonomi veteran.
Dalam pada itu, katanya, pihaknya turut berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang cakna dengan permasalahan veteran selain komited untuk memperkasakan ekonomi golongan terbabit.
Antaranya, penekanan terhadap isu skim veteran berpencen dan tidak berpencen selain komited untuk memastikan setiap kementerian menyusun program khusus kepada golongan berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan, Skim Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpencen dan tidak berpencen akan dimasukkan dalam agenda mesyuarat pertama Skim Perkhidmatan dan Persaraan, Isnin depan.
Datuk Seri Anwar memaklumkan perkara itu tidak pernah dimasukkan dalam kajian semula skim perkhidmatan dan persaraan sebelum ini.