(Foto hiasan)
SEREMBAN, 5 Ogos- Usaha melahirkan lebih ramai doktor dalam kalangan rakyat Sarawak perlu dijadikan tumpuan supaya dapat memberi khidmat di negeri sendiri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, antara cabaran dalam penempatan profesion itu ialah kebanyakan doktor menolak berkhidmat di negeri itu kerana faktor jarak kawasan yang jauh dari pusat bandar serta kekangan kemudahan asas di kawasan luar bandar.
(Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof)
"Tetapi yang utama saya kira, bagaimana untuk melahirkan doktor yang berasal dari Sarawak. Maknanya dari universiti lagi pengambilan itu kita perlu tentukan. Sebab cabarannya ialah bila tawaran dibuka yang mendapat tawaran ialah daripada semenanjung misalnya, mungkin mereka tidak mahu pergi Sarawak.
"Pertama kerana jauh, kedua perlu pergi ke luar bandar. Bila di luar bandar kemudahan asas mungkin tidak selengkap di semenanjung. Itu satu faktor yang menyebabkan ramai tidak mahu pergi bertugas di Sabah Sarawak, di pedalaman khususnya.
"Oleh kerana itu, saya kira tumpuan kita melahirkan anak tempatan yang boleh ada kelayakan untuk menjadi doktor dilatih dan supaya mereka ini mahu bertugas di negeri sendiri", katanya selepas melawat ke Pusat Pengumpulan Getah (PMG) Kampung Kuala Sawah, Rantau.
Baru-baru ini, Timbalan Premier Sarawak, Dr Sim Kui Hian dilaporkan berkata, jawatan tetap untuk doktor kontrak harus ditawarkan kepada mereka yang sudah berkhidmat di Sarawak atau rakyat di negeri itu yang sedang menanti tawaran.
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni dilaporkan berkata sebanyak 50 daripada 619 pegawai perubatan menolak tawaran jawatan tetap di fasiliti kesihatan awam di Sarawak.