fb fb fb fb fb

Implementasi pengupayaan dagangan saham pecahan dilaksana sebelum akhir tahun

(Datuk Seri Ahmad Maslan semasa merasmikan
Bursa Marketplace Fair 2023 di Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 5 Ogos- Implementasi pengupayaan dagangan saham pecahan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jun lalu, dijangka dilaksanakan sebelum penghujung tahun ini.

Pelaksanaan inisiatif ini akan memudahkan pelabur runcit untuk mendapatkan akses pembelian saham 'blue chip' lebih mampu milik.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, usaha ini boleh dirancakkan sekali gus menarik pelabur runcit untuk membeli saham bagi memperhebatkan lagi pasaran modal Malaysia.


(Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan/BERNAMA)

"Tidak perlu beli satu lot yang ada 100 unit, mereka boleh beli satu dua unit, tiga empat unit, lima enam unit, mereka boleh beli RM10, RM30, RM40, RM50, tidak semestinya beribu-ribu ringgit. ini satu perkara yang menarik, dahulu kalau beli perlu satu lot, satu lot minimum 100 unit", katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi sidang media selepas merasmikan Bursa Marketplace Fair 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru.

Dalam masa yang sama, inisiatif tersebut dilihat dapat menarik rakyat untuk melabur bagi meningkatkan jumlah pelabur runcit yang kini hanya pada kadar 28 %.

Media Baharu