(Anwar Ibrahim)
BUKIT MERTAJAM, 5 Ogos- Kerajaan akan membincangkan isu berkaitan kadar gaji keseluruhan penjawat awam dan skim saraan termasuk isu gaji siswazah pada Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Gaji yang akan dipengerusikan Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu hadapan.
Jelas perdana menteri, mesyuarat tersebut sudah ditetapkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
"Penyelarasan (gaji) itu setiap 10 tahun, sekarang sudah menjangkau 12 tahun. Jawatankuasa itu tidak bermesyuarat sebelum ini, jadi semua perkara ini (isu gaji) kita akan ambil kira (bincangkan).
"Saya telah jelaskan bahawa umumnya kadar upah gaji penjawat awam termasuk polis, tentera dan tentera tidak berpencen itu rendah.
"Semua ini kita akan masukkan (bincangkan) dan Insya-Allah tertakluk kepada keupayaan ekonomi, kita naikkan (gaji) (secara) berperingkat," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia (PERKEM ke-16) di Seberang Jaya.
Isu gaji siswazah mendapat perhatian apabila kadar itu dianggap merosot ke paras gaji minimum.
Sementara itu, kepakaran yang dimiliki Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan universiti dalam negara akan diangkat bersama kerajaan pusat untuk terus memacu kemajuan negara.
Ke arah itu, beliau akan meminta pengurusan IPT terbabit agar memberikan data terperinci berkaitan kepakaran setiap institusi untuk bekerjasama dengan pentadbiran kerajaan pusat.
Perdana menteri berkata, menjadi satu kerugian kepada negara, sekiranya ia tidak dipraktikkan berbanding negara China yang sudah lama berbuat demikian.
"Mesti ada sinergi dengan universiti tanpa kecuali, sebaik ada kepakaran universiti mesti dimanfaatkan sepenuhnya, jika tidak ini satu kerugian buat negara.
"Jadi saya sudah minta laporan secara terperinci setiap universiti, berikan bidang-bidang tenaga akademik atau penyelidik dan kita boleh sesuaikan di jabatan (atau) kementerian berkaitan supaya sinergi ini dimanfaatkan.
"Saya lihat negara China lebih aktif memanfaatkan (perkara) ini, (bagaimanapun) kita masih lagi ikut pendekatan lama," katanya dalam ucapan beliau pada majlis itu.
Seramai 91 individu dalam pelbagai bidang kepakaran negara termasuk Indonesia terlibat dalam PERKEM ke-16 dengan melibatkan pembentangan sebanyak 76 kertas kerja.
Pensyarah Kanan Bahagian Ekonomi Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Abdul Rais Abdul Latiff menyifatkan persidangan itu mampu menyumbang kepada pembentukan model dasar yang lebih baik serta membantu dalam pembentukan dasar lebih stabil untuk proses pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negara lebih kukuh.
"Untuk proses pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negara lebih kukuh, iya, seperti dikatakan perdana menteri bahawa sumbangan ahli akademik merupakan satu sumbangan besar dalam membantu kerajaan membentuk sebuah negara berdaya tahan terutamanya dalam era ketidaktentuan geopolitik," katanya.
(Anwar Ibrahim (biru) pada Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke-16
di Seberang Jaya, Pulau Pinang/FB Anwar Ibrahim)