KUANTAN, 5 Ogos- Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah untuk mewujudkan Muzium Agong yang bakal menempatkan pelbagai lakaran perjalanan selama lima tahun Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Titah baginda, segala hadiah dan kurniaan selama lima tahun tersebut akan ditempatkan Muzium Agong dan dipamerkan kepada rakyat bagaimana permulaan dan pengakhiran Seri Paduka Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Turut dipamerkan adalah legasi peninggalan di sepanjang pemerintahan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad ketika baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong suatu ketika dahulu.
"Kita akan letak dalam Muzium Agong itu kerana Pahang sudah memberikan dua Agong kepada Malaysia. Semua itu akan dipamerkan di sana.
Beta ucap terima kasih kepada kerajaan negeri kerana selalu menyokong beta termasuk usaha ini untuk dilaksana," titah baginda Tunku Azizah ketika mencemar duli berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Pameran ‘Pahang In Nature’ di Muzium Seni Kontemporari (MOCA) di Kompleks Muzium Sultan Haji Ahmad Shah pada Jumaat.
(Foto FB Istana Negara)
Pameran tersebut mempamerkan 33 hasil karya artis daripada Tengku Marina Tengku Ibrahim, selain sembilan galeri antaranya Galeri Etnografi, Taman Bunyi-bunyian dan alat-alat muzik yang mempamerkan alat muzik seperti gambus, gitar dan piano.
Penubuhan MOCA pertama di Malaysia bakal memberikan pemahaman kepada masyarakat tentang kepentingan menghayati dan menghargai karya seni terutamanya dalam melestarikan warisan tradisi.