KUALA LUMPUR, 5 Ogos- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus komited meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung gangguan seksual.
Langkah itu diperkasa menerusi aktiviti advokasi antigangguan seksual di seluruh negara.
Timbalan Menterinya, Aiman Athirah Sabu berkata isu itu perlu diberi perhatian dan ditangani dengan serius kerana ia boleh mendorong ke arah jenayah seksual sekali gus mengakibatkan kesan negatif kepada mangsa, takut dan trauma yang berpanjangan.
"Gangguan seksual ini berlaku dalam apa jua keadaan. Jika ada ruang, gangguan ini boleh berlaku. Gangguan ini boleh berlaku dalam lima bentuk iaitu lisan, tulisan, visual, isyarat dan juga fizikal.
Ini yang perlu diberi perhatian, khusus kepada mereka yang menjadi mangsa serta masyarakat keseluruhan mesti memberikan perhatian sama ada yang menjadi mangsa ataupun berpotensi menjadi pemangsa," kata Aiman kepada pemberita RTM selepas menjadi tetamu dalam Program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, Kota Media.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan menerusi Program Jerayawara Kasih KPWKM @ Advokasi Antigangguan Seksual telah pun berlangsung di tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Sarawak.
Sempena bulan kemerdekaan, pihaknya akan mengadakan Program Langkah Kasih Merdeka KPWKM @ Advokasi Antigangguan Seksual 8 Ogos ini, berjalan sepanjang 2KM di sekitar Putrajaya, melibatkan 10 kementerian dan agensi.
(Foto FB KPWKM)