KUALA LUMPUR, 18 Oktober- Satu badan pemantau harus diwujudkan bagi memastikan implementasi polisi Belanjawan 2024 dapat dilaksanakan dengan baik di peringkat kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.
Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ia perlu dilakukan agar segala program dan perkembangannya berjalan lancar seperti perancangan.
"Sebelum ini kita ada pemantau yang memerhati perkara ini. Saya mahu menteri memberi jawapannya. Banyak dasar dibentang, program dan polisi serta dasar yang baik.
"Tetapi, kita perlu ada pemantau termasuklah Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) dan sedikit waktu lagi Akta Perolehan Kerajaan (Government Procurement Act), semua ini memerlukan satu pemantauan yang cekal, yang gigih dan perlukan pelaporan," katanya dalam sesi bahas di Dewan Rakyat di sini.
Keperluan mewujudkan badan pemantau berkenaan selari dengan tadbir urus yang dimahukan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam sesi sama Dzulkefly turut mencadangkan kerajaan melaksanakan cukai warisan, ia bagi meningkatkan pendapatan negara.
"Pada tahun 1991, Menteri Kewangan pada ketika itu merupakan perdana menteri hari ini. Seandainya dilaksanakan kita ada pendapatan dari cukai harta pusaka yang agak lumayan.
"Negara-negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) sudah laksanakan cukai tersebut. Sebagai contoh baru-baru ini di Korea Selatan... pewaris syarikat Samsung ketika mewarisi kekayaan bapanya dikenakan cukai harta pusaka sebanyak AS$6 bilion," katanya.
(Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad)