fb fb fb fb fb

WTCKL tingkat hubungan perdagangan, pelaburan dalam sektor perniagaan Arab Saudi

Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim bersama Menteri Hal Ehwal Bandar dan Perkampungan Arab Saudi, Majed bin Abdullah Al-Haqil (kiri) & Ketua Pegawai Eksekutif, Osama Hassan Ahmed (kanan)

KUALA LUMPUR 27 Disember- Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) memperkukuh rangkaian antarabangsa dengan menjalin kerjasama strategik bersama pemain utama dalam sektor perniagaan dan perdagangan global.

Baru-baru ini, WTCKL mengadakan beberapa siri pertemuan rasmi dengan pemimpin Arab Saudi untuk membuka peluang dalam meningkatkan perdagangan, pelaburan, dan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim, menegaskan kepentingan hubungan strategik ini serta komitmen penuh Malaysia dalam memperkukuh hubungan ekonomi bersama negara Timur Tengah itu.

“Perbincangan bersama tokoh-tokoh utama seperti Datuk Bandar Jazan, Yahya bin Jaber Al-Ghazwani dan pemimpin lain telah membuka ruang untuk meneroka potensi besar
dalam kerjasama, khususnya dalam bidang perdagangan, rangkaian perniagaan, dan acara berskala besar,” katanya.

Jelasnya, perbincangan di Jazan tertumpu kepada langkah-langkah jangka panjang untuk meningkatkan peluang pelaburan dan meletakkan Jazan sebagai hab ekonomi utama di rantau ini.

“Saya percaya Jazan mempunyai potensi untuk menjadi titik tumpuan utama dalam perdagangan dan acara perniagaan antarabangsa.

"Kedudukannya yang strategik berhampiran Afrika memberikan kelebihan unik untuk perdagangan dan pelaburan rentas benua,” kata Irmohizam.

Sewaktu lawatannya, Irmohizam turut berpeluang bertemu dengan Menteri Bandaraya dan Perumahan Arab Saudi, Majed bin Abdullah Al-Haqil, dalam satu sesi khas yang membincangkan pertumbuhan masa depan di Jazan.

Beliau turut mencadangkan penubuhan Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Jazan, sambil menekankan bahawa rangkaian global WTCA dapat memainkan peranan penting dalam menjadikan Jazan sebagai destinasi antarabangsa untuk acara perniagaan.

“Kami melihat peluang besar untuk Jazan muncul sebagai hab global bagi acara perniagaan.

"Pembangunan pusat konvensyen bertaraf dunia di Jazan bukan sahaja mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran global, tetapi juga menyumbang kepada pendiversifikasian
ekonomi Arab Saudi bawah Visi 2030,” katanya.

Lawatan tersebut juga termasuk perbincangan bersama pihak Khuzama Valley Investment (KVI), yang diwakili oleh Pengerusi, Mansour Ayedh Alkahtani dan Ketua Pegawai Eksekutif, Osama Hassan Ahmed, bagi mengukuhkan kerjasama dalam merealisasikan potensi besar Jazan sebagai hab ekonomi serantau.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE